“Aku Adalah Pengejar Syurga Akhirat, Bagiku Dunia Ini Adalah Tempat Mempersiapkan Segala Sesuatu Untuk Meraih Syurga Akhirat. Aku Yakin Bahawa Syurga Akhirat Tidak Akan Pernah Dapat Aku Raih Kecuali Aku Boleh Menikmati Syurga Dunia Terlebih Dahulu"

Sunday, February 27, 2011

Moh Kita Ke Masjid

Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Alhamdulillah, kita masih diberikan ruang untuk menikmati oksigen Allah. Semoga kita dapat menggunakan apa yang diberikan oleh Allah ini ke jalan yang diredhai oleh NYA.

Pada kali ini, saya terpanggil untuk mengajak saudara dan saudari sahabat-sahabat saya untuk bersama-sama mengimarahkan masjid yang menjadi tunjang kekuatan dan kesepaduan kita sebagai orang Islam. Mengajak,  menyeru dan menerima ajakan adalah sesuatu perkara yang mudah bagi mereka yang sentiasa menjadikan masjid sebagai rumah kedua. Namun, bagi mereka yang sentiasa berat punggung untuk melangkah ke masjid, ajakan itu tidak memberi apa-apa maksud dalam hati sanubari mereka. Bagi golongan yang menjadikan masjid sebagai rumah kedua, pasti mereka merasa kecewa dengan perkembangan ini. Melahirkan kekecewaan tanpa sebarang tindakan tidak akan mengubah apa-apa. Satu tindakan proakaktif perlu dijalankan oleh AJK masjid dan komuniti sekitarnya agar masjid sentiasa menjadi tempat persinggahan semua pihak. 

Hari ini pelbagai program telah dilaksanakan oleh pihak masjid bagi menarik minat masyarakat supaya sama-sama ke masjid bersolat jemaah. Antaranya adalah ceramah dan tazkirah, kelas Al-Quran, kursus-kursus dan pelbagai lagi program dijalankan, namun segala program yang dilaksanakan oleh pihak masjid masih belum mampu menarik minat terutama golongan muda untuk ke masjid. Apa yang tidak kena dengan program-program tersebut? Jika diikutkan semua program tersebut adalah program keagamaan yang menjurus kepada keperluan kita apabila kita menghembuskan nafas terakhir kelak. Bagaimana cara untuk menarik golongan muda? Jawapan kepada persoalan ini telah saya usulkan kepada salah sebuah masjid dan salah seorang ahli politik dalam facebook beliau beberapa bulan yang lepas. Diharapkan idea itu dapat diterima oleh mereka.

Islam itu bersifat global. Semua perihal kehidupan terdapat dalam agama suci ini. Dari sekecil-kecil zarah, sehingga ke besar-besar dinasour ada, lengkap. Jadi, kenapa kita mengecilkan skop agama megikut acuan kita? Pendekatan yang digunakan perlu menyeluruh, yakni memenuhi keperluan pelbagai golongan, samaada tua, muda, lelaki mahupun kaum wanita. Berdasarkan pemerhatian dan penilaian saya, pendekatan yang digunakan oleh kebanyakan masjid-masjid sekarang adalah tidak menyeluruh. Kenapa saya berkata demikian? 

Mungkin bagi mereka yang tidak membuka mata seluasnya, mereka akan kata saya tidak menyokong gerakan Islam dan mempersendakan program anjuran masjid. TIDAK!!! Saya menyokong 200% apa yang pihak masjid lakukan sekarang, namun perlu ada penambahbaikan kepada program-program yang dirancang agar matlamat untuk menjadikan masjid sebagai tempat percambahan dan kekuatan Islam menjadi kenyataan. 
Apa yang diperhatikan sekarang, pihak masjid dan komuniti sekitarnya sudah berpuas hati dengan apa yang dicapai oleh mereka, walaupun ruang kosong masih dapat dilihan di setiap sudut masjid. 

Program dakwah tidak hanya berlaku dengan cara ceramah dan tazkirah semata-mata. Seperti yang saya coretkan di atas tadi, ISLAM adalah global. Pihak masjid harus memikirkan bagaimana hendak menarik glongan muda dengan cara mengetahui apa keperluan golongan muda. Golongan muda sifatnya mahu bersuka ria dan kebebasan. Jadi, kenapa kita tidak mencari satu kaedah yang mana golongan muda boleh menyertai program yang dianjurkan seterusnya dakwah juga dapat disampaikan. Pendek kata program yang menjurus kepada situasi menang-menang. Apa program dan aktivitinya?

Sukan dan golongan muda tidak dapat dipisahkan. Jadi, gunakan kesempatan dan peluang yang ada ini untuk mengatur program kesukanan yang menjurus ke arah Islamik. Hari ini kita dapat melihat masyarakat kita bersukan namun hukum hakam Islam tidak dipedulikan. Inilah masanya. Aktiviti sukan seperti badminton, futsal dan pingpong contohnya boleh dijadikan batu loncatan untuk kita berdakwah. Setiap sukan yang ada di dunia ini telah mempunyai undang-undangnya tersendiri, namun tidak salah bagi kita untuk menambah undang-undang Islam di dalamnya. Pihak masjid boleh la meletakkan syarat semua pemain haruslah memakai pakaian yang menutup aurat dan selesa. Itu adalah salah satu kaedah bagaimana kita hendak berdakwah dengan cara sukan seterusnya mengembangkan syiar Islam di dalam sukan. 

Acara sukan tersebut mungkin berlangsung pagi sehingga petang, jadi dalam temph tersebut terdapat dua waktu solat iaitu zohor dan asar. Sebelum atau selepas masuknya waktu zohor, pihak masjid boleh mengadakan sedikit tazkirah sebagai acara selingan. Secara tidak langsung, sudah ada dua program dakwah dapat dilaksanakan. Ilmu pun berkembang kepada lebih ramai orang. Mudah kan? Seterusnya aktiviti selepas sukan. Pihak masjid boleh mengadakan majlis kenduri kesyukuran bagi meraikan smua pasukan berserta masjlis penyampaian hadiah. Jadi program dan aktiviti pada hari tersebut telah menjanjikan ramai yang akan menyertai solat berjemaah di masjid. Cuma kita berharap program tersebut berterusan dan golongan muda ini sedar akan tanggungjawab mereka kepada agama selaian hukum yang wajib dipatuhi. Walaupun pelaksanaan aktiviti tersebut tidak menjanjikan bahawa golongan akan terus menjadikan masjid sebagai rumah kedua, sekurang-kurangnya kita telah berusaha ke arah yang lebih baik mengikut tuntutan Islam. Jika nak dibandingkan dengan apa yang ada sekarang, kebanyakannya adalah golongan pakcik dan makcik sahaja yang sentiasa pergi ke masjid.

Kebersihan adalah sebahagian daripada Iman. Hari ni kita harus bersyukur kerana kebanyakan masjid banyak yang telah berubah dibandingkan 10-20 tahun lepas. Kesedaran yang tinggi dikalangan masyarakat amatlah diharapkan agar kesucian masjid ini sentiasa terpelihara. Kerajaan juga sentiasa memainkan peranan dengan menyalurkan jutaan ringgit supaya institusi masjid ini menjadi ikon menarik pelbagai golongan untuk mendekati Islam. Kerjasama dan keprihatinan masyarakat dalam menjaga institusi masjid amat ditagih supaya masjid sentiasa menjadi tempat persinggahan para musafir. AJK masjid perlu memainkan peranan agar segala keperluan di masjid dapat disediakan ke tahap maksimum. Paling penting kebersihan di dalam dan luar masjid. Terdapat banyak lagi masjid di negara kita ini belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan. Jika ini berterusan, bagaimanakah masyarakat hendak ke masjid? Jadi, persekitaran yang bersih juga menjadi salah satu faktor galakan kepada masyarakat untuk ke masjid.

Hari ini, jika kita perhatikan di kebanyakan masjid, belum ada lagi perpustakaan. Kebanyakannya hanya menyimpan Al-Quran. Sebagai cetusan idea, saya mengesyorkan pihak masjid mencari buku-buku ilmiah dalam pelbagai bidang samada kesihatan, sirah nabawiah, ilmu kekeluargaan dan sebagainya untuk panduan masyarakat. Mungkin ini dapat membantu anak-anak muda yang masih belajar untuk mendapatkan nota-nota sebagai panduan untuk membuat assignment. Secara tidak langsung, mereka sudah ke masjid kn? Walaupun pihak masjid tidak mampu mengadakan perpustakaan sendiri, cukuplah menyediakan sebuah almari dan meletakkan buku-buku ilmiah di dalamnya.

Berbalik kepada cetusan minda pertama saya di atas, satu cara lagi yang semua pihak boleh fikirkan adalah mengadakan senaman aerobik. Pelaksanaannya boleh dijalankan pada hari minggu. Bagi negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah, hari jumaat adalah hari yang amat sesuai, diteruskan dengan solat jumaat. 

Pihak masjid juga boleh melaksanakan kempen kesihatan di ruang legar masjid. Kerjasama dengan pihak hospital diperlukan dalam menjayakan program ini supaya masyarakat bukan sahaja dapat membuat pemeriksaan kesihatan, tetapi juga dapat mengetahui dengan lebih lanjut perkaitan Islam dan Kesihatan. Pihak masjid harus menggunakan peluang ini untuk menerangkan tentang kesihatan dalam Islam. Untuk itu, program seperti derma darah dan pemeriksaan kesihatan boleh lah dijadikan KPI masjid untuk tahun ini dan seterusnya.

Sebagai mengakhiri coretan cetusan minda ini, saya berdoa dan amat berharap sekali agar institusi masjid menjadi peneraju terhadap perkembangan Islam daripada pelbagai sudut tanpa dipengaruhi oleh anasir-anasir yang berkepentingan terutama politik. Sudah sampai masanya masjid menjadi tempat ibadah yang bersifat  liberal dan global dalam menjayakan misi dakwah bukan sahaja kepada bukan Islam, tetapi kepada orang Islam sendiri. Tinggalkan lah fahaman bahawa Islam sekadar solat dan tazkirah semata-mata. Buka minda kita, buka mata kita dan tengoklah kehadapan dengan rasa keinsafan dan sayangkan agama.  Insya Allah....


No comments:

Post a Comment