“Aku Adalah Pengejar Syurga Akhirat, Bagiku Dunia Ini Adalah Tempat Mempersiapkan Segala Sesuatu Untuk Meraih Syurga Akhirat. Aku Yakin Bahawa Syurga Akhirat Tidak Akan Pernah Dapat Aku Raih Kecuali Aku Boleh Menikmati Syurga Dunia Terlebih Dahulu"

Monday, April 29, 2013

PRU 13 : Analisa Seorang Marhaen

Assalamualaikum wbr dan salam sejahtera buat semua pembaca blog saya.

Sebagai rakyat Malaysia yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen, saya rasa terpanggil untuk memberikan analisa saya terhadap sistem politik di Malaysia. Biarpun sudah lama memendam rasa untuk menukilkan sesuatu di ruangan maya ini, baru saat ini saya mampu menulis dek kekangan kerja dan hal-hal peribadi.

Alhamdulillah, sepanjang 28 tahun hidup di muka bumi ini, Malaysia sangat aman sekali. Sesekali sahaja berlaku pertelingkahan di kalangan mereka yang mahu dunia melihat Malaysia terumbang ambing dek pemerintahan yang kurang cekap. Tidak mengapa, saya tidak menyalahkan mereka 100% kerana tindakan mereka itu juga adalah ujian kepada kita semua, baik pemerintah, pembangkang ataupun rakyat biasa.

Sejak Malaysia MERDEKA pada tahun 1957 dan pilihanraya pertama pada tahun 1955, negara Malaysia tidak pernah lekang daripada kempen politik yang berpanjangan, samaada daripada parti yang sedang memerintah atau pihak lawan, di peringkat negeri atau pusat.

Tahun 2013 sekali lagi Malaysia akan menghadapi Pilihan Raya Umumnya yang ke 13 untuk memilih kepimpinan bagi menerajui negara dan negeri ke mercu kejayaan di peringkat antarabangsa. Walaupun begitu, kempen politik telah bermula sejak PRU 12 lalu bagi kedua-dua pihak. Itulah demokrasi Malaysia. Setiap masa dihiasi dengan politik. Saya suka gelarkan negara Malaysia adalah negara politik. Manakan tidak, 24jam, 7 hari, 1 bulan, 1tahun kempen politik terus menghiasi ceruk kampung dan bandar, media-media massa dan juga laman sosial.

Saya hanyalah seorang marhaen yang hanya melihat kelibat parti-parti politik di dada-dada akhbar, televisyen dan laman sosial, tidak begitu ekstrem dan taksub terhadap parti walaupun sejujurnya saya adalah penyokong parti pemerintah sedia ada. Pandangan saya pada kali ini juga hanyalah bersandarkan pemerhatian secara kasar dan logik akal saya sebagai seorang yang tidak rapat dengan ahli politik dan pengetahuan yang sangat cetek tentang politik dan sejarahnya.

Melihat kepada kempen yang berterusan daripada parti-parti yang terdapat di Malaysia, saya merasakan parti-parti politik masih mengamalkan politik jumud dengan menggunakan isu-isu peribadi untuk mendapatkan sokongan. Bagi sesetengah parti, mereka menggunakan kelebihan yang ada sebagai pemerintah untuk mendapatkan sokongan, dan sebahagian daripada parti politik menggunakan isu-isu yang boleh mencetuskan kemarahan rakyat untuk mengalih sokongan. Ini adalah sesuatu yang tidak sihat bagi politik di abad ini dimana rakyat mempunyai akses yang luas untuk mendapatkan maklumat.

Politik di alaf baru ini menuntut parti dan juga pemimpin serta calon untuk lebih berkaliber dalam membawa isu-isu untuk rakyat secara amnya dan masyarakat setempat khasnya. Saya sangat kesian kepada rakyat Malaysia yang hanya menerima bulat-bulat apa yang disogokkan oleh pemimpin dan juga orang-orang mereka terutama di laman sosial tanpa menilai dan mengkaji kesahihan sesuatu. Jika betul tidak mengapalah, tetapi jika salah, ia telah menimbulkan suatu fitnah yang besar dan mengundang kepada dosa yang besar.

PRU 13 adalah PRU yang pada pendapat peribadi saya paling panas sejak PRU pertama diadakan walaupun pada ketika ini, belum ada berita keganasan yang melampau dari mana-mana pihak. Isu-isu diganggu semasa berceramah, berkempen dan sebagainya bukanlah sepanas PRU nnt. Panas yang dimaksudkan adalah kedua-dua pihak samada pemerintah sedia ada ataupun pembangkang tidak boleh merasa selesa dengan sokongan rakyat terhadap parti masing-masing kerana pada PRU 12 pola sokongan rakyat telah berubah tanpa disangka. Beberapa nama besar dalam BN kalah di kawasan masing-masing kerana menganggap sudah selesa dan boleh menang di kawasan yang ditandingi. Jadi, untuk PRU kali ini, semua calon terpaksa mengerah keringat semaksimum mungkin bagi menghadapi lawan yang boleh mematikan langkah pemimpin tersebut walaupun "underdog".

PRU 13 adalah PRU untuk orang muda. Jadi segala-galanya perlu mengambil kira kehendak orang muda. Orang muda tidak seperti orang-orang lama yang mahu dilayan ekslusif. Pemimpin harus faham jiwa orang muda. Mendekati orang muda mestilah santai dan tidak formal. Mereka mahu pandangan mereka diterima, mereka mahu pemimpin yang boleh bersama-sama mereka di mana saja waima di kedai kopi sekalipun, berborak bersama dan bersukan bersama. Program-program untuk orang muda juga harus dipergiatkan samaada program kerohanian, sosial mahupun santai. Yang penting program tersebut tidak sama sekali menyalahi tuntutan syarak bagi orang Islam. Harus diingat, program kerohanian tetapi diisi dengan ceramah politik perlu dielakkan.

PRU 13 juga memperlihatkan semua parti politik samada BN, PAS, PKR, DAP, dan parti-parti lain di Sabah dan Sarawak mengemukakan manisfesto masing-masing untuk meyakinkan pengundi bahawa mereka adalah terbaik. Sebagai rakyat yang dilabelkan sudah matang berpolitik, mesti berfikiran jauh kehadapan, bukannya menerima bulat-bulat segala janjis manis yang dikemukakan oleh parti politik. Kerana pada akhirnya kita kuatir janji yang ditabur hanyalah umpan untuk PRU semata-mata, pelbagai alasan diberikan jika tidak mampu tunaikan.

Di suatu sudut, saya melihat beberapa kerat sahaja yang matang berpolitik. Yang lain bagi saya masih di takuk lama, membaca di laman sosial dan 'share' kepada orang lain. Matangkah begitu? Jika kita matang, seharusnya kita menilai betul atau tidak sesuatu isu yang dibangkitkan di laman sosial. Untuk menyalahkan rakyat semata-mata juga tidak boleh kerana ada pemimpin politik juga menggunakan kaedah lama untuk berkempen.

Saya berpandangan politik matang adalah politik yang menggunakan pemimpin atau calon untuk 'menjual' manifesto parti masing-masing ketika berkempen. Sebaik-baiknya juga calon tersebut mempunyai manisfesto tersendiri di kawasan yang ditandingi. Jika pemimpin tersebut hanya mengharapkan manifesto parti, ada kemungkinan apa yang terkandung dalam manisfesto berkenaan tidak sampai di kawasan yang ditandingi walaupun parti dapat membentuk kerajaan. Begitu juga apabila parti tidak dapat membentuk kerajaan, tetapi calon menang. Calon tersebut tidak dapat berbuat apa-apa kerana parti tidak membentuk kerajaan dan manisfesto parti hanya tinggal manisfesto. Berbanding jika calon tersebut mempunyai manifesto sendiri, jika parti kalah sekalipun dan calon menang, mereka dapat menyumbang kepada rakyat di kawasan masing-masing. Pemimpin rakyat tidak seharusnya berkhidmat ketika membentuk kerajaan sahaja. Pemimpin seharusnya bekerja untuk rakyat pada setiap masa walaupun parti kalah.

Sekian sahaja analisa saya terhadap PRU 13 yang akan menjelma 5 Mei ini. Buatlah pilihan yang bijak. Saya akan memberi pandangan saya lagi dalam siri kedua analisa PRU 13 berkenaan dengan manisfesto.