“Aku Adalah Pengejar Syurga Akhirat, Bagiku Dunia Ini Adalah Tempat Mempersiapkan Segala Sesuatu Untuk Meraih Syurga Akhirat. Aku Yakin Bahawa Syurga Akhirat Tidak Akan Pernah Dapat Aku Raih Kecuali Aku Boleh Menikmati Syurga Dunia Terlebih Dahulu"

Tuesday, February 1, 2011

Petrol Oh Minyak

Assalamualaikum dan salam muhibbah kepada semua...

Berjumpa lagi kita dalam entiti seterusnya yang akan mengupas topik yang menjadi bualan hangat rakyat Malaysia ketika ini iaitu KENAIKAN HARGA PETROL RON97. Seperti sedia maklum, saya akan mengupas tajuk ini mengikut kaca mata saya sebagai seorang rakyat Malaysia. Segala deria yang dianugerahkan oleh Allah SWT ini saya gunakan sebaik mungkin untuk mendengar, membaca, merasai, menghayati malah turut berdiskusi secara sihat dengan rakan-rakan di tempat kerja dan di dalam talian facebook berkenaan krisis kenaikan harga minyak ini.

Berita kenaikan harga Petrol RON97 telah heboh diperkatakan sejak malam tadi (31 Jan 2011, malam). Keprihatinan rakyat terhadap perkembangan semasa harus dipuji. Ia menunjukkan kepada kita rakyat Malaysia tergolong dalam golongan orang yang celik IT dan mempunyai rangkaian di seluruh negara di pelbagai peringkat. Syabas Malaysia kerana berjaya melahirkan rakyat yang berilmu. Kenaikan harga petrol RON 97 ini telah menggusarkan majoriti rakyat Malaysia walaupun ianya tidak melibatkan diri sendri. Begitulah rakyat Malaysia, sentiasa prihatin terhadap nasib dan keperluan orang lain. Budaya dan adat daripada nenek moyang kita dahulu masih tersemat dalam setiap hati naluri orang Malaysia. Saya juga tidak terkecuali merasai bebanan dengan kenaikan harga petrol ini walaupun saya bukanlah pengguna RON97. Apabila mendapat tahu tentang kenaikan harga petrol ini, fikiran saya terus bergerak dan berinteraksi dengan hati, cuba untuk menyelami perasaan ribuan (mungkin juga ratusan ribu) rakyat Malaysia yang menggunakan RON97 akan kesan yang terpaksa ditanggung oleh mereka. Memang cukup terbeban.

Seorang pengguna tidak akan mengisi minyak dengan nilai 1 liter=RM2.50. Tidak mungkin sama sekali. Biasanya seorang pengguna akan mengisi petrol sebanyak paling kurang RM20 (RM20/RM2.50=8 liter) untuk sebuah kereta. Secara matematik nya, berapa jauh sangat kah sesebuah kenderaan boleh bergerak dengan hanya mengisi minyak dengan kapaisiti 8 liter? Mungkin one shoot 20km sahaja. Bagaimana pula dengan perjalanan yang jauh? Mungkin seseorang pengguna perlu membelanjakan sehingga RM100-RM200 untuk sebuah perjalanan yang jauh. Itu baru saja untuk perbelanjaan minyak. Bagaimana pula dengan perbelanjaan yang lain termasuk penginapan, makan minum, masuk tandas dan lain-lain lagi?

Para pembaca yang dihormati, itu baru sahaja perkiraan berkenaan perbelanjaan bagi seorang pengguna. Bagaimana pula bagi mereka yang mencari rezeki melalui perniagaan? Mari sama-sama kita fikirkan. Jika anda seorang bussinessman, mungkin anda akan terduduk memikirkan kos yang perlu ditanggung untuk perkhidmatan yang diberikan. Bagaimana kaedah yang sesuai untuk menangani masalah kenaikan harga petrol dengan bayaran perkhidmatan yang sama? Mungkin anda akan mengalami kemerosotan dalam perniagaan. Ya, betul, rezeki adalah urusan Allah, namun jika kita sebagai hamba NYA tidak berusaha untuk mencari jalan penyelesaian, mana mungkin segala apa yang kita mahukan dimakbul. Akal yang diberi harus digunakan sebaik mungkin. Caranya anda juga akan menaikkan kos perkhidmatan. Namun, kesannya tetap sama. Kemungkinan anda akan kehilangan pelanggan. Oleh yang demikian, peningkatan kos perkhidmatan oleh golongan yang menjalankan perniagaan haruslah diiringi dengan perkhidmatan yang baik. Maknanya win-win situasion haruslah menjadi pertimbangan kepada kelompok peniaga supaya kedua-dua pihak mendapat keuntungan, samada dari segi keuntungan wang ringgit atau pun keuntungan dari segi perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan. Itulah antara contoh yang boleh saya berikan beikutan kesan kenaikan harga petrol RON97.

Namun begitu, kita harus ingat. Kerajaan melalui Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan & Koperasi, pada suatu ketika telah memberitahu bahawa kerajaan tidak lagi akan memberikan subsidi minyak RON97 dan pada masa sama memperkenalkan RON95 sebagai pilihan kepada pengguna. Kerajaan juga melalui Dato' Sri Ismail Sabri Bin Yaakob dalam kenyataan akhbar juga telah menyatakan bahawa harga bagi RON 97 mengikut pasaran antarabangsa dan kerajaan akan mengambil kira average setiap bulan dan bukan kawalan kerajaan. (rujuk youtube yang dilampirkan). Harga bagi RON97 akan naik dan turun mengikut pasaran dunia. Oleh itu, isu kenaikan harga petrol RON97 tidak perlu lagi dijadikan bahan untuk menghentam kerajaan. Tengoklah berita dan baca lah surat khabar.


Bagi RON95 pula, harga pasaran adalah dikawal oleh kerajaan. Kebanyakan kenderaan di Malaysia menggunakan petrol jenis ini untuk kegunaan harian dan ianya telah menjadi pilihan kedua bagi mereka yang mementingkan penjimatan. Disebabkan itu juga, sejak diperkenalkan petrol RON95 tidak mengalami kenaikan dan inilah subsidi untuk rakyat. Penghapusan subsidid RON97 juga adalah bagi mengatasi masalah penyeludupan minyak petrol ke negara jiran.

Pada pendapat saya, walaupun rakyat Malaysia begitu prihatin terhadap isu-isu semasa, namun mereka juga mudah lupa terhadap apa yang disampaikan sebelumnya. Inilah manusia, selalu menggunakan emosi untuk bercakap. Berfikirkan dengan anugerah Allah SWT. Janganlah terpengaruh dengan omongan kosong pihak-pihak tertentu yang akan membawa rebah. Jika tidak mampu berjalan sendirian, gunakan lah tongkat. 25 tahun saya berpijak di bumi Malaysia ini, tidak pernah saya tidak mampu untuk menikmati rezeki Allah kerana usaha dan doa sentiasa mengiringi saya. Andai anda tidak mampu untuk menikmati rezeki Allah di bumi Malaysia ini atau ada terjumpa mana2 insan yang tidak mampu unutk menjamah sesuap nasi, datang lah berjumpa saya. Insya Allah saya akan berusaha untuk membantu. Bantuan bukan hanya melibatkan wang ringgit, namun bantuan juga boleh dizahirkan dengan memberikan sedikit semangat supaya mereka ini terbuka minda dan pintu hati untuk melebarkan sayap meneroka bumi Allah ini. Janji Allah bagi mereka yang berusaha adalah rezeki dan janji NYA tidak pernah dimungkiri. Berusahalah untuk meluaskan rezeki kita, bukan berusaha untuk menghancurkan diri sendiri, agama, bangsa dan negara demi kuasa. Insya Allah..

Segala pandangan dan luahan ini adalah hasil cetusan minda saya sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Mengkritik biar berhujah, menyokong biar berakal.
Wasalam...

No comments:

Post a Comment