“Aku Adalah Pengejar Syurga Akhirat, Bagiku Dunia Ini Adalah Tempat Mempersiapkan Segala Sesuatu Untuk Meraih Syurga Akhirat. Aku Yakin Bahawa Syurga Akhirat Tidak Akan Pernah Dapat Aku Raih Kecuali Aku Boleh Menikmati Syurga Dunia Terlebih Dahulu"

Friday, September 2, 2011

Sunnah-sunnah menjelang hari raya


Zakat Fitrah Sunnah hari raya 

Hari raya ‘Iedul Fitri bakal menjelang beberapa hari sahaja lagi. Ini bermakna Ramadan yang penuh barakah dan kemuliaan ini bakal meninggalkan kita untuk tahun ini. Maka, manfaatkanlah dengan sebaik mungkin hari yang masih berbaki ini. 

Rasulullah SAW mengajar kita agar berusaha keras menggandakan amal ibadah ketika Ramadan berbaki 10 hari. Beliau mencontohkan agar mengajak sama ahli keluarga untuk menghidupkan malam-malamnya dengan amalan-amalan sunnah seperti membaca al-Quran, iktikaf, solat, berdoa, dan memohon keampunan. ‘Aisyah r.a menyatakan, “Nabi SAW apabila memasuki fasa 10 hari yang akhir (Ramadan) beliau mengikat pakaiannya kuat-kuat, beliau menghidupkan malamnya dengan beribadah, dan beliau membangunkan keluarganya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari) 

Ini antaranya adalah dalam rangka meraih malam terbaik bernama lailatulqadar. Pesan Rasulullah SAW, “Carilah malam al-Qadr pada 10 malam terakhir dari bulan Ramadan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari) 

Kata al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah (Wafat: 774H), “Beribadah malam al-Qadr menyamai ibadah selama seribu bulan.” (Tafsir Ibnu Katsir, 8/444) 

Apabila kita memahami persoalan ini dengan baik, dengan keimanan dan mengharapkan pahala dari sisi Allah SAW, sudah sepatutnya kita akan berusaha keras mendapatkannya. Sebaliknya bukan dengan menyibukkan diri di pusat-pusat membeli-belah dan pasar-pasar raya bagi meraih tawaran jualan murah dan memperagakan pelbagai barangan yang boleh dilakukan ketika hari-hari lain sehingga mengabaikan keutamaan yang disunnahkan pada waktu-waktu terakhir ini. 

Penuhilah masjid-masjid dan malam-malam terakhir Ramadan ini dengan qiyam Ramadan berupa ibadah serta memohon keampunan dengan segala kemampuan dan kesempatan yang ada. Tawaran yang Allah berikan ini bukan mudah untuk diperoleh dan nilainya jelas jauh lebih tinggi berbanding urusan dunia lainnya bagi yang mengimaninya. 

Kata Rasulullah SAW, “Sesiapa yang menghidupkan malam al-Qadr (untuk beribadah) dengan keimanan dan mengharap pahala, diampunkan baginya dari dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari) 


Zakat Fitrah


Ketika hampir menjelangnya ‘Iedul Fitri atau sebelum solat ‘Ied dilaksanakan, umat Islam yang berkemampuan wajib mengeluarkan zakat fitrah kepada orang-orang miskin. Zakat fitrah dikeluarkan dengan kadar satu sha’ makanan asasi sesuatu negeri (bagi setiap satu kepala) seperti satu sha’ kurma, atau satu sha’ gandum, atau kismis, atau keju, atau selainnya seperti beras, jagung, barli, atau oat. Dalam tukaran unit masa kini, satu sha’ ini merujuk kepada empat kali sukatan menggunakan raupan dua telapak tangan lelaki dewasa. Atau juga menyamai kira-kira 2.5 hingga 3.0 kilogram bagi beras, kurma, atau gandum. 

Waktu yang terbaik (sunnah) bagi mengeluarkan zakat fitrah adalah pada satu atau dua hari sebelum ‘Iedul Fitri atau sebelum solat ‘Ied dilaksanakan sebagaimana dijelaskan oleh hadis-hadis yang sahih. Iaitu disunnahkan melewatkan sehingga ke penghujung Ramadan atau ketika pagi hari raya sebelum solat. 

Ibnu ‘Umar r.a menjelaskan, “Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah dengan jumlah satu sha’ kurma atau satu sha’ gandum bagi setiap hamba dan orang merdeka, lelaki dan wanita, tua dan muda, iaitu daripada kalangan umat Islam. Beliau juga memerintahkan agar zakat fitrah diserahkan (kepada orang-orang miskin) sebelum masyarakat keluar melaksanakan solat ‘Ied.” (Hadis Riwayat al-Bukhari) 

Kata Ibnu ‘Abbas r.a a, “Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah bagi menyucikan orang-orang berpuasa daripada perbuatannya yang sia-sia dan perkataannya yang tidak baik, serta sebagai makanan bagi orang-orang miskin. Sesiapa yang mengeluarkannya sebelum solat ‘Ied maka ia dikira sebagai zakat, dan sesiapa yang mengeluarkannya setelah solat, ia dikira sedekah biasa.” (Hadis Riwayat Abu Daud) 

Para ulama menjelaskan, zakat fitrah wajib dikeluarkan dalam bentuk makanan asasi dan tidak boleh ditukarkan dalam bentuk nilai wang. Majoriti fuqaha’ menyatakan zakat yang dikeluarkan dengan wang atau nilai gantian lain adalah tidak sah. Manakala yang membolehkan dengan wang atau nilai lain adalah mazhab Abu Hanifah. (Rujuk: Syarah Shahih Muslim, 7/60) 

Adapun yang menepati kebenaran sebagaimana dalam hadis-hadis Nabi dan amalan para sahabat adalah zakat fitrah dikeluarkan dalam bentuk makanan asasi dan tidak boleh diganti dalam bentuk wang atau nilai lain. Sekiranya zakat fitrah dikeluarkan dalam bentuk wang kepada wakil atau petugas tertentu, maka pastikan petugas tersebut menukarkannya dalam bentuk makanan asasi sebelum menyerahkannya kepada sasaran (orang miskin) pada waktu penghujung Ramadan atau pada pagi hari raya sebelum solat ‘Ied didirikan tahun tersebut. 


Sunnah hari raya

Dalam bahasa Arab, hari raya disebut ‘Ied kerana ia datang berulang-ulang setiap tahun dengan membawa kegembiraan. Hari ‘Ied memiliki pelbagai kebaikan yang akan kembali kepada umat Islam seperti berbuka yang mana sebelumnya diperintahkan berpuasa (dilarang makan dan minum), pengeluaran zakat fitrah, dan diberikan padanya kebahagiaan, kegembiraan, dan kenikmatan. (Ahkamul ‘Iedain fi sunnatil Muthahharah, m/s. 14 – Terjemahan Pustaka Imam asy-Syafi’i) 

Dalam rangka meraikan kegembiraan tersebut, umat Islam diharamkan berpuasa dan disunnahkan untuk makan sebelum berangkat solat ‘Ied. Disunnahkan supaya menghias diri dengan mandi pagi hari dan memakai pakaian yang baik serta syar’i selari dengan petunjuk Rasulullah dan para sahabatnya. Pakaian yang baik tidak semestinya yang baru dan berharga mahal. Disunnahkan juga untuk mengenakan wangi-wangian (bagi lelaki) terutamanya ketika pergi melaksanakan solat ‘Ied. 

Ketika menjelangnya hari raya, Allah SWT memerintahkan supaya mengagungkan-Nya dan membesarkan-Nya dengan iringan rasa syukur di atas petunjuk-Nya. Firman-Nya (yang bermaksud), “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya (berpuasa) dan hendaklah kamu mengagungkan Allah di atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah, 2: 185) 

Berdasarkan firman Allah SWT inilah antaranya, maka disunnahkan bagi umat Islam supaya bertakbir, bertahmid, dan bertasbih, atau disebut sebagai takbir hari raya. Umat Islam disunnahkan untuk bertakbir dengan suara yang lantang serta sebanyak-banyaknya pada pagi hari raya ketika menuju ke tempat solat (musaholla) sehingga ditunaikan solat ‘Iedul Fitri. 

Dalam rangka mengagungkan Allah ini juga, umat Islam dituntut melaksanakan solat ‘Ied berjemaah bersama-sama imam. Rasulullah SAW memerintahkan kepada kaum lelaki dan wanita yang merdeka agar keluar ke tempat solat bagi melaksanakannya. Bagi yang tertinggal, hendaklah dia melaksanakannya secara individu sebanyak dua rakaat. (Rujuk: Majmu’ al-Fatawa, 23/161) 

Imam al-Bukhari rahimahullah menyatakan, “Apabila tertinggal solat ‘Ied, hendaklah dia solat dua rakaat. Demikian juga dengan kaum wanita dan orang-orang yang berada di rumah serta yang tinggal jauh di pedalaman.” (Shahih al-Bukhari, 4/66) 

Seiring dengan perintah mengagungkan Allah SWT, kita perlulah berusaha sedaya-upaya untuk meninggalkan apa jua bentuk maksiat atau perbuatan menyambut hari raya dengan amalan-amalan yang bidaah dan mungkar. Malah hari raya ini sendiri diberikan oleh Allah SWT antaranya sebagai ganti kepada bentuk-bentuk perayaan kaum jahiliyyah terdahulu. 

Amatlah mendukacitakan apabila ada di kalangan umat Islam hari ini yang meraikan ‘Iedul Fitri dengan bermain mercun, bertabarruj, berpakaian dedah aurat, ikhtilath di antara lelaki dan wanita, joget dan konsert, tayangan filem penuh maksiat dan khurafat, berzanji marhaban, serta seumpamanya. Ini semua amat bertentangan dengan rangka mengagungkan Allah SWT berpandukan petunjuk yang diberikan-Nya. Wallahualam.