“Aku Adalah Pengejar Syurga Akhirat, Bagiku Dunia Ini Adalah Tempat Mempersiapkan Segala Sesuatu Untuk Meraih Syurga Akhirat. Aku Yakin Bahawa Syurga Akhirat Tidak Akan Pernah Dapat Aku Raih Kecuali Aku Boleh Menikmati Syurga Dunia Terlebih Dahulu"

Friday, January 20, 2012

"PRIDE OF KELANTAN"



KELANTAN - satu negeri yang digelar Serambi Mekah, dihuni oleh pelbagai lapisan masyarakat dengan majoritinya Melayu beragama Islam. Negeri yang sangat unik dari pelbagai sudut samada budaya, adat resam dan politik. Rakyatnya sentiasa bersatu padu walaupun kadang-kadang berbeza fahaman. 

Sebut sahaja orang Kelantan, orang melihat dari pelbagai sudut. Ada yang melihat orang Kelantan baik, sopan santun, lembut tutur katanya, beradab bila berbicara, mempunyai jiwa Islam yang tinggi, namun ada juga yang melihat orang Kelantan gedebe, berpuak-puak, ganas, bermasalah dan lain-lain lagi.

Tapi, bagi saya yang dilahirkan di Kelantan, saya merasakan semua itu adalah sifat semula jadi setiap kaum, dijadikan oleh Allah dengan pelbagai ragam dan sifat untuk saling melengkapi antara satu sama lain, tidak kira dari mana mereka datang, agama apa, kaum apa. Saya merantau ke seluruh pelusuk negara, dari Perlis sampai ke Sabah, pernah sampai ke Indonesia dan Thailand, sifat dan perangai yang disebutkan di atas ada di setiap tempat. Jadi, tidak perlulah kita menilai seseorang atau puak-puak tertentu berdasarkan negeri kelahirannya. Nilailah mereka dengan sifat yang ada pada diri mereka.



Istimewanya Kelantan adalah kerana rakyatnya. Pergi ke mana sahaja di dalam dan luar negara, loghat Kelantan pasti kedengaran. Kenapa? Sebab kami bangga dengan negeri kami. Kami bersatu hati dan itulah sifat terpuji yang ada dalam diri kami. Walaupun pertama kali berjumpa, kami tidak kekok untuk bertegur sapa dan bergurau senda. Kami boleh bersatu walaupun di jalan raya menuju ke Kuala Lumpur, kami boleh bersorak bersama ketika menyaksikan perlawanan bola sepak melibatkan pasukan kami. Kami juga boleh bersatu untuk menentukan kepimpinan yang kami mahukan.

Saya masih berfikir dan merenung kenapa ini berlaku hanya di Kelantan. Mungkin kerana kami terdidik begitu, dilimpahkan dengan rahmat Islam yang begitu dekat dengan kami, dianugerahkan pemimpin yang sentiasa bersederhana, tidak kira pemimpin politik atau di pihak Istana. 



Kunci keistimewaan Kelantan adalah kesepaduan. Kami pantang disentuh, kami pantang diejek, kami pantang dicabar. Bergurau biar bertempat, menyindir biar beralas. Jika seorang yang menggunakan IC 03 terguris, maka keseluruhanlah kami akan terguris, bagai kata peribahasa "Cubit Paha Kanan, Paha Kiri Turut Terasa". Kami diajar untuk menghormati orang lain, tapi kami juga diajar untuk mempetahankan hak kami. 

Jangan takut berkawan dengan kami. Kami seperti insan lain, suka berkawan dan sedia menerima sesiapa sahaja kawan, Namun, kami tidak akan tinggalkan kawan Cik Siti Wan Kembang Kami. Kami suka bersama bukan kerana kami sombon atau tidak suka kepada negeri lain, tapi bahasa dan loghat kami membuatkan kami lebih mudah mesra. 

"ALLAH Kami Agungkan, Nabi Muhammad Kami Junjung, Sultan dan Pemimpin Kami Sanjung"

 "We're Not Worried, But We're Warriors"


"PRIDE OF KELANTAN FOREVER"


No comments:

Post a Comment