“Aku Adalah Pengejar Syurga Akhirat, Bagiku Dunia Ini Adalah Tempat Mempersiapkan Segala Sesuatu Untuk Meraih Syurga Akhirat. Aku Yakin Bahawa Syurga Akhirat Tidak Akan Pernah Dapat Aku Raih Kecuali Aku Boleh Menikmati Syurga Dunia Terlebih Dahulu"

Friday, July 19, 2013

Kerana Seringgit

Assalamualaikum dan salam Ramadhan buat semua muslimin muslimat, moga kita semua berada dalam perlindungan Allah dalam bulan Ramadhan ini dan mendapat rahmat yang banyak seperti yang dijanjikan oleh Allah SWT. 

Apa yang ingin saya sampaikan ini adalah kisah benar dari bekas seorang perompak bersenjata yang boleh kita jadikan pengajaran yang sangat berguna kepada kia semua. Insya Allah...

Ringgo, seorang budak kampung hidup bersama keluarga beliau yang serba miskin. Mereka tidak meminta untuk jadi begitu, tapi ketidakupayaan menjadikan mereka begitu. Hari-hari Ringgo dihina dan dicaci masyarakat dan kawan yang mempunyai sedikit kekayaan. 

Bila keluar dengan kawan atau pergi ke rumah kawan, pasti ibu bapa kawan beliau memberi amaran agar tengok-tongokkan Ringgo, takut-takut ada barang yang diambil. Bila melalui laluan rumah-rumah di kampung, beliau diejek oleh orang kampung. Bila ada kecurian di kampung, Ringgo lah yang akan dicari dulu. Ringgo jadi pening, dan berfikir sendiri. Kenapa jadi macam ni, apa salah aku? Hina sangatkah aku? Beliau selalu dituduh membuat kejahatan walaupun beliau tidak melakukannya.

Hari berganti hari, tahun berganti tahun. Usia Ringgo juga semakin meningkat, tahap pemikiran Ringgo juga sudah semakin matang. Ringgo mula mengerti apa itu kehidupan. Rupanya dunia ini memerlukan kuasa, kuasa pula diperoleh hanya dengan duit. Beliau mengerti kenapa beliau dihina semasa kecilnya. Kesusahan keluarganya menyebabkan dia dihina, dikeji, difitnah dan sebagainya. Beliau mula memikirkan bagaimana untuk mendapatkan kuasa dan wang.

Tahap pendidikan yang rendah dan prestasi yang lemah membantutkan impian beliau untuk  menjawat jawatan yang tinggi dan bergaji besar. Jika pun bekerja yang biasa, beliau tidak mungkin akan mempunya wang yang banyak dan berkuasa. Kisah semasa kecilnya membuatkan beliau mahukan semua itu.

Ringgo mula mengenali kawan yang tinggal di lorong-lorong hitam. Dendam beliau terhadap orang-orang kaya dan berada semakin memuncak bila teringatkan apa yang dilalui semasa kecilnya. Ringgoi mula mencuri. Tetapi dia memilih dalam mencuri. Modus operandinya tertumpu orang-orang kaya yang berlagak mulia di mata sendiri dan orang sekelililing. Ringgo mencuri di rumah urut, pusat hiburan, pusat judi, kedai nombor ekor dan lain-lain yang boleh kita klasifikasikan sebagai haram.

Kenapa? 

Bagi Ringgo, tidak salah mencuri di rumah pencuri. Bagi Ringgo, pusat judi, kedai nombor ekor juga mencuri duit orang, jadi tidak salah mencuri di rumah pencuri. Pernah beliau bertanya pada seorang wartawan, "jika saya mencuri dan kamu juga mencuri, siapa sebenarnya pencuri?" Wartawan tersebut tidak dapat menjawab dan hanya mampu terseyum sambil mengangguk.

Ringgo merasa bangga dengan kuasa dan wang yang dimiliki. Dia boleh menguasai tempat dan orang-orang yang lemah. Ringgo puas.

Setelah bertahun Ringgo mencuri, hati kecilnya datang berbisik. "Sampai bilakah aku harus membuat kerja seperti ini?"  Terdetik di hati kecilnya untuk berubah ke arah kebaikan dan berhenti merompak. Namun, bukan mudah untuk berhenti. Kawan-kawan menghasut. "Ringgo, malam ni last kita merompak. Kalau kau rasa seronok, kita teruskan. Kalau tak, kita berhenti". Kata Ameng kepada Ringgo. Ringgo bersetuju dengan cadangan kawan beliau. 

Pada malamnya Ringgo dan kawan-kawan membuat kerja merompak seperti biasa. Tapi lain pula yang terjadi. Pada malam tersebut, berlaku pergaduhan antara kumpulang Ringgo dan satu lagi kumpulan penjenayah. 2 kawan Ringgo terbunuh manakala Ringgo ditangkap oleh pihak polis. Rupanya, memang betul itulah jenayah terakhir yang beliau lakukan.

Semasa menjalani hukuman di penjara, Ringgo mula berubah. Beliau belajar solat dan puasa. Beliau kesal dengan apa yang dilakukan sehingga menyusahkan semua orang. Tapi bagi beliau, kesalahan tidak perlu diletakkan di atas bahu beliau. Kemuliaan si kaya yang menghina si miskin membuatkan beliau jadi begitu.

Kini, Ringgo tidak lagi membuat jenayah. Beliau telah insaf. Beliau memohon ampun kepada kedua ibu bapanya. Beliau juga mengingatkan masyarakat di luar sana agar jangan menghina orang susah dan miskin. 

Bagi beliau, orang susah sepertinya mesti dibantu oleh si kaya yang perasan mulia. Ringgo menasihati si kaya, "seringgit yang kamu beri pada orang susah, tidak sedikitpun harta kamu berkurangan malah akan bertambah". Tersentak juga saya dengan kata-katanya itu. Dalam Al-Quran juga ada disebutkan.

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (karuniaNya) lagi Maha Mengetahui.” (QS. Al Baqarah : 261). 

Ringgo menyambung "Sepatutnya orang kaya kena prihatin kepada orang susah, kena bantu orang susah, kena tanya macam mana sekolah mereka, makan minum cukup ke, pakaian ada ke, baru la hidup ni sempurna".

Sekali lagi saya tersentak dengan kata-katanya. Walaupun pedih, tetapi itulah hakikat sebenar. Kadang-kadang kita terlalu angkuh dengan jawatan, darjat, harta yang kita ada tanpa memikirkan orang lain yang kekurangan dan tidak ada keupayaan. Padahal jika kita bersedekah, sedikitpun harta kita tidak berkurangan. Jika kita bantu, Insya Allah, orang yang kita bantu akan berterima kasih dan berdoa kepada kita. Allah juga akan membantu kita ketika kita dalam kesusahan nanti.

Kita selalu menyalahkan orang yang berbuat jahat dengan cacian dan kejian, Tidak pernah kita berfikir kenapa mereka jadi macam tu. Rupanya kita juga sebahagian punca mereka jadi begitu. Bagi kita mudah untuk memberi kesimpulan kita sendiri, "banyak lagi kerja boleh buat, kenapa pilih mencuri?" Sedapnya lidah yang tidak bertulang mengungkap kata-kata disebabkan kita sudah selesa dengan apa yang kita ada. Jika tidak ada penghinaan, mana mungkin akan berlaku kejadian jenayah seperti ini. 

Ringgo juga pernah berkata, "macam mana saku nak dapatkan kekayaan yang cepat? Kalau aku mintak sedekah, berapa orang Malaysia boleh bagi? RM100, RM50; tak mungkin sama sekali. RM10? Mungkin iya, mungkin tidak. RM1 pasti. Adakah cukup untuk orang kaya tidak menghina aku?"

Astaghfirullahalazim...

Dalam kesempatan yang ada di bulan yang mulia ini, saya mengajak kawan-kawan yang membaca coretan yang memang betul-betul belaku ini agar berfikir sebelum kita mengangkat jari telunjuk kepada orang lain di atas apa yang mereka lakukan. Jadilah manusia dan orang Islam yang membantu dan bersedekah kepada yang memerlukan. 

Jika kita boleh menghabiskan beratus ringgit untuk sesuatu yang tidak berfaedah, apalah ruginya kita andai bersedekah dan membantu mereka. Saya tahu rakyat Malaysia pemurah, tapi biarlah berpada dalam kemurahan. Dalam keterbukaan ilmu dan teknologi masakini, alasan "biar RM1, asalkan ikhlas" tidak lagi boleh dijadikan budaya kita dalam membantu orang susah. Seboleh-bolehnya, sedikit yang boleh biarlah sekurang-kurang RM10 agar nilai yang diberikan itu boleh memberi keselesaan juga kepada mereka. Dan moga Allah juga menambahkan juga limpah nikmatnya kepada kita sepertimana janji DIA dalam firman di atas.

Jadikan lah apa yang berlaku kepada Ringgo sebagai sentapan kepada hati kita dan jadikan pengajaran berguna kepada kita semua. Ramadhan yang masih ada lagi ini boleh lah kita gunakan untuk bermuhasabah diri. Insya Allah dengan sedikit perkongsian ini, dapat mengubah diri kita menjadi lebih baik. 

Wassalam...


 

No comments:

Post a Comment