“Aku Adalah Pengejar Syurga Akhirat, Bagiku Dunia Ini Adalah Tempat Mempersiapkan Segala Sesuatu Untuk Meraih Syurga Akhirat. Aku Yakin Bahawa Syurga Akhirat Tidak Akan Pernah Dapat Aku Raih Kecuali Aku Boleh Menikmati Syurga Dunia Terlebih Dahulu"

Wednesday, December 26, 2012

Kehidupan Adalah Persepsi

Assalamualaikum dan salam kerinduan buat semua pembaca... Sudah lama tidak bersua muka di dunia blog kerana tidak ada idea untuk dikongsi bersama. Hari ni Alhamdulillah, diberikan ruang masa dan peluang untuk sama-sama berkongsi sedikit pendapat yang saya rasa boleh kita fikir bersama.

"Kehidupan Adalah Persepsi". Kenapa saya memilih tajuk ini untuk dikongsi bersama? Apa yang dimaksudkan dengan persepsi? Persepsi adalah pandangan atau gambaran seseorang terhadap sesuatu perkara atau manusia lain. Ianya berlaku kepada semua orang yang hidup di muka bumi Allah ini, tidak kira ianya persepsi yang baik ataupun buruk.

Kenapa kehidupan adalah persepsi? Sebabnya mudah. Apa yang kita dengar, lihat, rasa, sentuh hidu semua melibatkan pandangan dan gambaran kita terhadap sesuatu. Walaupun kadang-kadang kita sudah menggunakan semua deria yang ada dalam diri kita, kita tetap menggunakan persepsi sebagai satu langkah untuk mentafsir apa sebenarnya yang berlaku.

Persepsi biasanya mengarahkan gambaran sesuatu itu kepada keburukan. Walaubagaimanapun, semuanya bergantung bagaimana kita menggunakan akal dan hati kita untuk membuat tafsiran tersebut. Tetapi kebanyakannya penafsiran ke arah keburukan.

Di Malaysia, rakyatnya tidak terlepas kepada kehidupan persepsi ini. Masuklah ke ceruk mana sekalipun, kita akan mendengar pelbagai gambaran dan pandangan terhadap sesuatu perkara walaupun kesahihannya belum pun disahkan. Kadang-kadang, kesahihan sesuatu perkara sentiasa dimanipulasi agar cerita itu lebih sedap didengar oleh orang lain, maka persepsi ini akan terus terbang dengan bebas dengan pelbagai cerita.

Banyak perkara yang jika diambil satu persatu sebagai contoh, menggambarkan kita sebenarnya hidup hanya untuk mati. Kenapa saya berkata demikian? Sebabnya orang kita suka copy paste sahaja apa yang diperkatakan oleh orang sebelumnya, tanpa mengkaji samaada betul atau tidak. Sebagai contoh, kita sentiasa mendengar orang cakap bahawa orang Kelantan suka makan manis. Bila sampai kepada generasi sekarang, mereka juga membuat persepsi sebegitu tanpa menyelidik dan melihat sendiri pemakanan orang Kelantan. Pandangan tanpa menyelidik begitu akan menyebabkan suasana tidak harmoni di kalangan rakyat di Malaysia sendiri kerana walaupun tinggal di satu negara, tetapi tidak memahami karektor sebenar masyarakat pelbagai kaum dan budaya. Walhal, jika diikutkan rakyat Kelantan juga makan makanan yang pedas seperti budu yang dicampurkan dengan cili dan limau nipis, kari dan pelbagai masakan pedas yang lain. Tinggal lagi dalam beberapa makanan tertentu, mereka sukakan kepada kemanisan di dalam masakan/makanan.

Sebagai contoh kedua, ada persepsi mengatakan orang negeri ini akan berkahwin hanya dengan orang negeri sendiri sahaja. Ini juga merupakan persepsi yang buruk yang boleh menjejaskan hubungan antara rakyat sesuatu negeri dengan negeri yang lain. Saya tidak pasti dari mana mereka mendapat berita yang melucukan ini. Saya tidak nafikan ada segelintir orang tua (ibu bapa) mahukan anak-anak mereka berkahwin dengan orang-orang yang dekat, namun tidak lah keseluruhan. Tidak berkmakna kerana seorang ibu bapa yang mahukan anak mereka berkahwin dengan orang-orang sekampung/senegeri, maka keseluruhan rakyat negeri itu dianggap begitu. Ni la persepi yang perlu diubah.

Untuk menyalahkan segelintir yang membuat persepsi lucu ini juga tidak boleh kerana mereka juga didedahkan dengan persepsi yang buruk sebelum mereka juga menyampaikan perkara yang sama (copy paste). Yang harus dipersalahkan adalah mereka-mereka yang ditolak lamaran mereka dengan kerana masalah jarak. Lalu diceritakan kepada orang laian bahawa orang negeri ini hanya mahu berkahwin dengan orang negeri dia sahaja.

Itu adalah 2 contoh yang kita boleh fikirkan bersama, samada ianya betul-betul berlaku atau tidak. Dan juga kita boleh menilai hal-hal lain yang dijadikan persepsi negatif supaya kita sama-sama berfikir bagaimana untuk mengubah menjadi sesuatu yang positif. Diharapkan entri ini dapat mengubah sedikit sebanyak persepsi buruk menjadi persepsi yang baik kerana persepsi juga akan memberikan impak yang besar dalam menjana ukhwah dan jalinan persabahatan di kalangan masyarakat.

Memang agak susah untuk mengubah, tetapi tanpa usaha berterusan, kita akan jadi seperti "Hidup Segan, Mati Tidak Mahu". Kehidupan di dunia ini biarlah kita hiasi dengan berfikir disamping beramal. Kita mampu mengubah jika kita mahu. Hidup bukan untuk mati, tetapi hidup untuk beramala dengan cara berfikir dan melaksanakan segala yang baik sebelum kita menyelusuri alam kubur. Janganlah kita hanya hidup untuk meniru orang lain dan mengambil bulat-bulat apa yang diperkatakan orang lain kerana orang lain juag belum tentu betul. Ditambah pulak dengan kecanggihan teknologi masa kini, pelbagai fakta boleh diputar belit untuk mengaburi mata hati kita.

Wasalam...

No comments:

Post a Comment